arena

Gol Yashir patut masuk Puskas

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Gol menerusi sepakan ‘rabona’ atau teknik kaki bersilang pemain import PKNP, Yashir Pinto Islame pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kedah Rabu lalu, yang terbaik pernah dijaringkan sepanjang kariernya.

Malah, ramai pemerhati bola sepak tanah air menganggap jaringan itu antara yang tercantik sepanjang saingan Liga Malaysia musim ini, malah layak dicalonkan untuk anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Yashir yang juga pemain antarabangsa Palestin berkata, dia sama sekali tidak menduga teknik yang dilakukannya tiap kali pada sesi latihan akhirnya menjadi pada situasi perlawanan sebenar.

Bagaimanapun, jaringan luar biasa itu masih belum dapat memadamkan kekecewaannya membantu PKNP yang tewas 1-2 di laman sendiri, sekali gus gagal membawa sebarang bekalan ke Alor Setar.

“Sangat istimewa, sukar hendak saya gambarkan jaringan itu walaupun saya ada lakukannya pada sesi latihan cuma untuk lakukan pada perlawanan sebenar, ia bukan sesuatu yang mudah.

“Malah, cara bola itu menerjah ke jaring amat cantik dan terus terang ia kekal sebagai detik gol paling istimewa dalam karier saya.

“Saya tahu ramai sedang memperkatakan jaringan saya ini antara terbaik dalam saingan liga setakat ini dan sekurang-kurangnya saya sudah ada detik teristimewa untuk saya kenang bersama PKNP,” katanya.

Pada perlawanan itu, Yashir menjaringkan gol pembukaan pada minit 37 selepas mendapat hantaran daripada pemain bawah 18 tahun negara, Mukhairi Ajmal.

Kedah membalas pada separuh masa kedua menerusi jaringan penyamaan Fernando Rodriguez pada minit 49 dan gol kemenangan disumbangkan David Rowley, pada minit 73.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meneliti terlebih dulu jaringan pemain import PKNP Yashir Pinto Islame sebelum mencalonkannya untuk jaringan Puskas pada musim depan.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tidak mahu mengambil langkah terburu-buru untuk terus mencalonkan jaringan terbabit memandangkan pemenang anugerah terbabit baru saja diumumkan baru-baru ini.

Beliau berkata, jika menenuhi kriteria yang ditetapkan, FAM perlu meminta kebenaran daripada pemain dan PKNP untuk mencalonkan jaringan terbabit bagi anugerah Puskas.

“FAM akan pertimbangkan jaringan terbabit menerusi jawatankuasa teknikal dan jika perlu, kami akan minta kebenaran Yashir dan PKNP terlebih dahulu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 6:00am
d