arena

Tiada aksi Rodrygo berdepan Atletico

Oleh Reuters

PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane berkata penyerang remaja, Rodrygo Goes tidak akan beraksi pada pertembungan seteru setempat menentang Atletico Madrid dalam saingan La Liga, awal pagi esok, walaupun menjaringkan gol ketika penampilan pertamanya bersama kelab itu pertengahan minggu lalu.

Rodrygo, 18, menyertai Real dengan 48 juta Euro (RM220.20 juta) tahun lalu daripada Santos hanya pertama kali merasai bahang sebenar aksi perlawanan pada Rabu berdepan Osasuna apabila di masuk sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua di Bernabeu.

Dia melakukan impak segera dengan menjaringkan gol selepas hanya 90 saat berada di atas padang, menunjukkan kepantasan dan skil kawalan bola sehingga melepasi pertahanan di dalam kawasan kotak penalti untuk merembat masuk ke gawang gol untuk memastikan kemenangan 2-0 yang membawa Real di kedudukan teratas liga.

Pemain kelahiran Brazil berkenaan bergilir-gilir antara pasukan utama dan pasukan simpanan Real, Castilla yang beraksi di tahap tiga Liga Bola Sepak Sepanyol dan Zidane berkata akan membuat penampilan bersama Castilla hujung minggu ini dan tidak beraksi dalam pertembungan seteru setempat itu.

“Siapa tahy sebenarnya apa yang kami lakukan kepadanya, esok dia akan beraksi buat Castilla tetapi ia tidak mengubah apa-apa,” kata Zidane pada sidang media awal pagi ini.

“Dia berada dalam pasukan utama tetapi kami mengambil perkara ini sedikit demi sedikit. Kami mengambil keputusan ini tidak lama dahulu, dia akan bermain untuk Castilla esok dan dia berbesar hati untuk melakukannya.”

Rodrygo antara muka baru dalam pasukan yang dirombak secara besar-besaran berdepan Osasuna ketika Zidane merehatkan banyak pemain utama untuk berdepan aksi di Atletico, yang menduduki tempat ketika hanya satu memisahkan pendahulu liga.

Real turut menerima suntikan semangat dengan kehadiran pemain tengah, Isco dan Luka Modric pada sesi latihan, bagaimanapun pertahanan kiri, Ferland Mendy terpaksa disisihkan akibat kecederaan dan rakannya di barisan pertahanan Marcelo masih diragui.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 9:36am
d