arena

Pemain United dah lali dikritik

Oleh Agensi

PERTAHANAN Manchester United, Victor Lindelof tidak mengambil kisah mengenai kritikan bekas pengurus kelab itu Jose Mourinho sejak kebelakangan ini.

Mourinho yang menandatangani Lindelof buat United, menjadi tetamu jemputan televisyen ketika Red Devils tewas 0-2 kepada West Ham dan mengkritik aksi pemain antarabangsa Sweden itu.

Dia mendakwa Lindelof mungkin ‘dibuli’ oleh barisan serangan kerana gagal menyekat kemaraan lawan terutama membabitkan saingan di udara, dia mengulangi komen yang dibuat oleh rakan sejawat Gary Neville tidak lama sebelum itu.

Begitupun, Lindelof tenang menerima komen itu, menyedari kritikan seperti itu adalah sebahagian daripada cabaran menjadi pemain United.

“Pada saya ia bukan satu masalah. Saya seorang yang bersikap terbuka,” katanya kepada Sky Sports. “Akan selalu ada seseorang bercakap atau sesuatu dengannya.

“Apabila anda bermain untuk kelab ini akan sentiasa ada pihak yang mengkritik kamu dan cara kamu bermain.

“Pada saya ia bukan satu masalah, walaupun ketika saya bermain baik jika seseorang mengkritik dengan perkara lain. Ia adalah sebahagian daripada kerja saya, semua orang berhak mengutarakan pendapat masing-masing.

“Saya hanya cuba melakukan tugas saya dan saya tidak fokus kepada perkara yang tidak mendatangkan faedah. Saya langsung tidak perasaan atau tahu mengenainya, sebelum anda memberitahu kepada saya. Ini adalah kehidupan saya dan saya memberi tumpuan kepada perkara yang saya lakukan.

“Jika anda bermain untuk Manchester United (pemerhatian) adalah sebahagian daripadanya. Jika anda tidak menyerlah anda akan dengar mengenainya, itu perkara biasa.

“Saya dapat melihat masa depan di sini disebabkan itu saya menandatangani kontrak baru - saya sangat gembira mengenainya. Kami mempunyai usaha yang baik dan saya tetap mahu memenangi kejuaraan besar bersama kelab ini, ia sudah menjadi impian saya sejak mula menandatangani kontrak lagi.”

Sepanjang berada di United, pelbagai perkara berlaku kepada barisan pertahanan tengah pasukan itu dengan kebanyakannya sering dihimpit kecederaan atau gagal beraksi baik.

Mengenai Harry Maguire, Lindelof yang digandingkan bersama cukup kagum dengan personaliti pemain kebangsaan England itu sejak United menjadikannya antara pemain termahal dunia.

“Sangat bagus, Harry pemain yang hebat,” kata Lindelof. “Kami hanya beraksi enam perlawanan bersama, jadi gandingan itu memerlukan lebih banyak perlawanan untuk menjadi lebih baik dan lebih baik.

“Kami berusaha keras dan menjalani latihan bersama, kami mengenali antara satu sama lain, ia perkara yang bagus dalam satu pasukan. Diharapkan kami akan meningkatkan dan bertambah baik.

“Dia juga seorang yang hebat di luar padang. Sangat mudah untuk mengenalinya dan bercakap dengannya. Dia menunjukkan juga di atas padang, dia mempunyai karakter pemimpin dan mudah bergaul dengan semua orang untuk menjadi contoh terbaik. Itu juga apa yang saya mahu lakukan di atas padang.”

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 11:06am
d