arena

MUSA lengkap syarat lesen kebangsaan

Oleh Nazri Abu Bakar

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) sudah melengkapkan semua dokumen yang diperlukan untuk permohonan lesen kelab kebangsaan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata, usaha berkenaan dilakukan sejak Mac lalu dengan segala kriteria yang diperlukan termasuk pemasaran atau perniagaan, infrastruktur, pentadbiran dan perundangan juga dipenuhi sehingga ke tahap 99.7 peratus secara keseluruhan.

"Hanya tinggal 0.3 peratus sahaja iaitu membabitkan kriteria kewangan berikutan tiada dokumen pengesahan tunggakan Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang tidak dapat dikemukakan.

“Perkara itu sudah pun dimaklumkan dalam mesyuarat pengurusan dan kewangan pada Mei dan sekali lagi dimaklumkan dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pada Julai lalu memandangkan status kewangan persatuan sangat tidak memuaskan," katanya.

Sehubungan itu, seperti yang semua sedia maklum, pihak MUSA terutamanya presiden sedang giat berusaha untuk melunaskan tunggakan caruman KWSP, LHDN dan PERKESO sebelum tarikh tutup 30 Oktober.

Katanya, MUSA mengharapkan isu terbabit dapat diselesaikan menjelang tarikh berkenaan.

Farhan berkata, minggu lalu presiden ada berkunjung ke ibu pejabat KWSP dan antara isu yg dibincangkan adalah berkenaan tunggakan oleh MUSA pada 2018 dan 2019.

NSTP hari ini melaporkan Melaka United (MU) dan PKNS FC boleh disingkirkan ke Liga Perdana sekiranya gagal melengkapkan dokumen untuk mendapatkan lesen kelab kebangsaan daripada FAM.

Mengumumkan perkara itu, Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata dua pasukan itu diberikan lesen tetapi bersyarat iaitu perlu melengkapkan dokumen yang diperlukan dalam tempoh yang diberikan sehingga 30 Oktober.

Nasib satu lagi pasukan Liga Super, PKNP FC yang sah tersingkir ke Liga Perdana musim depan bakal ditentukan oleh FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas dilihat gagal memberikan komitmen untuk melengkapkan permohonan mendapatkan lesen.

Sembilan lagi pasukan Liga Super iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Selangor, Terengganu, FELDA United FC dan PJ City FC lulus dalam permohonan mereka mendapatkan lesen kelab kebangsaan.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 4:48pm
d