arena

Rachel lakar kejutan ke final

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PEMAIN skuasy negara, Rachel Arnold mempamerkan aksi memukau dengan mengejutkan pilihan pertama kejohanan untuk mara ke pentas final Terbuka Malaysia, esok. 

Pada aksi separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu diberi saingan sengit Rowan Elaraby dari Mesir sebelum memenangi pertarungan empat set 11-4, 11-7, 9-11, 11-7. 

Rachel yang menghuni ranking ke-46 dunia mengakui sudah menjangkakan tentangan hebat bekas juara remaja dunia itu.  

"Berdasarkan pertemuan kami sebelum ini, saya menyedari Rowan mempunyai corak permainan yang pantas dan agresif.  

"Namun, saya kekal fokus untuk menguasai rentak itu sekali gus memenangi pertarungan selama 40 minit. Ini antara kejayaan terbesar saya setakat ini," katanya.  

Pemain berusia 23 tahun itu akan menentang seorang lagi jaguh negara iaitu juara bertahan, Low Wee Wern yang mara selepas menewaskan pemain Hong Kong, Vanessa Chu 11-5, 4-11, 11-2, 11-8.  

"Saya teruja untuk bertemu Wee Wern dan akan memberi saingan sengit selepas tewas kepadanya pada kejohanan kebangsaan sebelum ini," katanya.  

Untuk rekod, pertembungan terakhir antara dua pemain itu memihak kepada Wee Wern dengan kemenangan 11-6, 7-11, 11-9, 11-3 pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan, Julai lalu. 

Dalam pada itu, pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow turut melangkah ke final selepas menundukkan Rui Soares dari Portugal 11-5, 11-7, 11-7 dalam masa 35 minit. 

Bekas juara remaja dunia itu akan menentang pemain Switzerland, Nicholas Muller yang mara dengan menewaskan Youssef Soliman dari Mesir 9-11, 11-5, 12-10, 11-9.

Rachel (kanan) ketika menewaskan pemain Mesir, Rowan Elaraby. FOTO NSTP/HAFIZ SOHAIMI

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 7:03pm
d