arena

Leclerc petak utama GP Russia

Oleh AFP

CHARLES Leclerc mengesahkan kebangkitan Ferrari dalam saingan Formula Satu selepas meraih petak utama kali keempat berturut-turut untuk perlumbaan Grand Prix Russia, hari ini.

Pemandu Monaco itu merakam masa satu minit 31.628 saat untuk mengatasi semua pelumba dan kelihatan bersedia menamatkan dominasi Mercedes selama lima tahun sejak 2014.

Selepas Ferrari mencatat tiga kemenangan dengan dua menerusi Leclerc, dia juga kelihatan mahu memacu kereta merah scuderia untuk meraih kemenangan keempat mereka.

Pencapaian dipamerkan menjadikannya pemandu pertama Ferrari sejak Michael Schumacher melakukannya pada 2001 dan ketika itu Leclerc baru berusia tiga tahun untuk memastikan empat petak utama berturut-turut.

Pendahulu kejuaraan dan juara lima kali Lewis Hamilton akan bermula di petak kedua di depan seorang lagi pemandu Ferrari, Sebastian Vettel yang akan berlepas daripada petak ketiga.

Vettel, pemenang di Singapura, minggu lalu berada di depan pelumba Red Bull Max Verstappen yang sedia berdepan hukuman grid penalti serta seorang lagi pemandu Mercedes, Valtteri Bottas dan Carlos Sainz dari McLaren.

“Kereta berada dalam keadaan cukup mengagumkan. Ia perasaan yang menyeronokkan dapat berada semula di petak utama tetapi saya tidak tahu sama ada ia litar terbaik untuk bermula di petak depan,” kata Leclerc.

“Laluan lurus pada permulaan sangat panjang. Ia sudah tentu pengalaman istimewa meraih empat petak utama berturut-turut tetapi saya tidak mahu memikirkan mengenai statistik itu!”.

Hamilton berkata dia kagum dengan kepantasan serta kekuatan enjin Ferrari di laluan lurus.

“Apa dapat saya perkatakan, ia sesi sukar. Mereka berada pada satu tahap lain di laluan lurus iaitu - ‘jet mode’.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 10:26pm
d