arena

PKNP perlu sekat gol awal Kedah

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PENGENDALI PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengingatkannya anak buahnya supaya menyekat dan memberikan saingan sengit kepada skuad Lang Merah pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, hari ini.

Menurut Abu Bakar, paling penting pasukannya dapat melipat gandakan usaha untuk mencari kemenangan dan mengelak dua gol daripada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang bermain di laman sendiri.

Jelasnya, biarpun pernah mempunyai sejarah tewas di sana tetapi mereka tetap bersemangat dengan misi untuk menentang serta turut berharap anak buahnya dapat mengekalkan momentum permainan.

"Pastinya permainan esok sangat menarik dan kita sedari senario di sana bukan mudah, namun kita perlu mencari 2-0 dan kita akan cuba dengan memberikan yang terbaik.

"Yang paling penting pemain dapat fokus sepanjang 90 minit dan dapat mempertahankan benteng kerana pastinya ancaman serangan Kedah akan lebih bahaya," katanya ketika dihubungi di Manjung, semalam.

Katanya, mereka tidak akan bertahan semata-mata dan sentiasa menyerang dan berwaspada dengan pergerakan Kedah kerana tidak mahu memberi peluang kepada tuan rumah memberikan tekanan dan serangan.

"Paling penting kami perlu elak gol awal Kedah kerana bukan sahaja memberikan jurang tetapi ia sedikit sebanyak akan menjejaskan semangat pemain sebaliknya kita perlu mencari peluang dahulu mendapatkan gol," katanya.

Abu Bakar turut mengharapkan penyerang import PKNP, Giancarlo Lopes dapat memberikan sesuatu di Stadium Darul Aman.

"Kita dapat lihat pada permainan di Manjung keberkesanan pemain muda, Mukhairi Ajmal, Yashir Pinto dan Hafiz Ramdan banyak memainkan peranan mengucar kacirkan pertahanan Kedah.

"Giancarlo nampak sedikit terhad malam itu kerana dia dikawal ketat pemain pertahanan Kedah dan jika dia dapat lepaskan diri daripada kekangan itu saya rasa kita upaya memberikan sesuatu di Darul Aman," katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 10:59pm
d