arena

'Seperti berada di dunia lain'

Oleh Ferzalfie Fauzi

SEPERTI berada di dunia lain. Itulah yang dapat disimpulkan mengenai serverDNA-IV yang dianjurkan serverDNA dan Persatuan E-Sukan Kuala Lumpur (ESKL) dalam usaha menghimpunkan komuniti e-Sukan seluruh negara.

Bukan hanya permainan video semata-mata malah, serverDNA-IV juga menjadi platfom terbaik menghimpunkan peminat, atlet, pengeluar dan selebriti berkaitan e-Sukan.

ServerDNA adalah acara komuniti yang menghimpunkan penggiat e-Sukan dan pengunjung pula tidak dikenakan sebarang bayaran masuk.

Menurut Pengasas serverDNA, Rupern Chiu, kehadiran pengunjung pada hari pertama semalam sangat memberangsangkan dan paling menarik ia dua kali ganda lebih ramai berbanding serverDNA III.

“Hari ini (semalam) seramai 2,000 pengunjung menghadiri serverDNA-IV dan jumlah ini dijangka bertambah kepada 5,000 pada hari kedua esok (hari ini).

“Selain pertandingan FIFA20 dan PUBG Mobile, pengunjung yang datang boleh merasai sendiri pengalaman bermain simulasi perlumbaan kereta, permainan video VR dan mencuba permainan komputer seperti Dota2 serta Counter Strike-Global Offensive (CS-GO),” katanya.

Ujar Rupern, antara yang menarik di serverDNA-IV ialah pengumuman Sidang Kemuncak Cosplay Dunia 2020.

“Antara perkara paling menarik di sini ialah dengan adanya Esports MedicA iaitu pemeriksaan, khidmat nasihat dan kempen kesihatan dalam e-Sukan.

“Terdapat juga ceramah dan penerangan perniagaan mengenai e-Sukan, manakala streamers atau selebriti e-Sukan di laman sosial juga berpeluang berjumpa dengan peminat mereka selain bertukar pendapat,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 4:45am
d