arena

'Jangan takut gagal'

Oleh Bersama Datuk Seri Jalani Sidek

KEGAGALAN adalah sesuatu yang biasa di dalam kehidupan seorang atlet dan dengan kegagalan itulah ia akan mematangkan mereka untuk bangkit lebih kuat.

Begitulah yang saya dapat lihat menerusi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia

Meskipun kandas sembilan kali di suku akhir termasuk di Terbuka Korea Selatan yang berlangsung ketika ini, dia tidak pernah mengenal erti putus asa untuk terus mencuba.

Secara peribadi, saya melihat Zii Jia sudah cukup matang. Dia mampu memberikan saingan kepada lawan yang menduduki ranking 10 terbaik dunia.

Corak permainannya semakin baik dengan lawan menyedari dia adalah antara pemain yang mempunyai pukulan tajam.

Sebab itu jika kita perhatikan Zii Jia, kebiasaannya dia akan mampu menewaskan lawan menerusi straight set tidak kiralah siapa yang menentangnya

Namun, satu kekurangannya ialah dalam aspek fizikal. Pemain ranking ke-16 dunia itu masih tidak mempunyai fizikal yang baik untuk beraksi dalam tempoh panjang.

Sebab itu juga kita dapat melihat kebiasaannya Zii Jia akan tewas dalam pertemuan tiga set. Apapun yang berlaku, saya masih percaya Zii Jia adalah yang terbaik kita ada ketika ini.

Untuk kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, saya percaya dia mampu menempatkan dirinya di temasya sukan terbesar dunia itu.

Zii Jia sudah membuktikan tiada yang mustahil apabila dia berjaya mara sehingga ke suku akhir Kejohanan Dunia lalu.

Terus dan terus mencuba Zii Jia! Jumpa lagi.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 5:01am
d