arena

PKNP janji tentangan sengit di Alor Setar

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PENGENDALI PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengingatkannya anak buahnya supaya menyekat segala pergerakan pemain Kedah apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam ini.

Menurut Abu Bakar, paling penting pasukannya perlu melipat gandakan usaha untuk mencari kemenangan.

Jelasnya, biarpun pernah mempunyai sejarah tewas di Darul Aman, tetapi mereka tetap bersemangat dengan misi untuk memberi tentangan selain turut berharap anak buahnya dapat mengekalkan momentum permainan.

“Pastinya permainan esok sangat menarik dan kami sedari senario di sana bukan mudah. Namun, kami perlu mencari kemenangan dan kami akan cuba dengan memberikan yang terbaik. Yang paling penting pemain dapat fokus sepanjang 90 minit dan dapat mempertahankan benteng kerana pastinya ancaman serangan Kedah akan lebih bahaya,” katanya.

Beliau berkata, PKNP tidak akan mengamalkan corak bertahan kerana ia akan hanya menambah tekanan buat pasukan.

“Kami perlu memastikan Kedah tidak menambah jaringan kerana ia sedikit sebanyak akan menjejaskan semangat kami,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 5:45am
d