arena

'Kuasa'mental

Oleh Firdaus Hashim

KEKUATAN mental dan karakter bakal menjadi resipi kebangkitan Selangor untuk menghidupkan kembali peluang mara ke separuh akhir Piala Malaysia apabila turun bertemu Perak dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam ini.

Tewas 0-1 di Stadium Perak, Ipoh pada suku akhir pertama bakal menguji kekuatan mental anak buah B Sathianathan yang berazam untuk bangkit, sekali gus memadam kelebihan The Bos Gaurus.

Jelas Sathianathan, sebaik pulang ke Shah Alam selepas aksi suku akhir pertama Ahad lalu, beliau menggunakan tempoh persiapan selama enam hari dengan menekankan aspek kekuatan mental sebagai modal menyekat Perak di depan penyokong Red Giants nanti.

“Selama latihan ini, saya lebih memberi penekanan kepada aspek mental pemain kerana kami masih boleh bangkit walaupun Perak ada kelebihan satu gol dalam tangan. Di tahap ini, karakter dan mental pemain memainkan peranan besar dan saya harap kami akan bangkit dan cuba meraih gol sambil tidak dibolosi.

“Kalau kami bolos, mungkin situasi lebih sukar kerana kami kena cari tiga gol pula memandangkan saingan menggunakan peraturan gol tempat lawan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Tambah bekas jurulatih Harimau Malaya itu, beliau turut berharap tonggak import dari Brazil, Sandro dapat disenaraikan selepas terpaksa diketepikan sebelum ini ekoran masalah kecederaan.

Katanya, kreativiti dan kebijaksanaan Sandro dalam menyusun serangan Selangor dari bahagian tengah amat diperlukan bagi menyalurkan bola tepat ke kaki penyerang pasukan, Ifedayo Olusegun.

“Iya, saya harap Sandro akan bermain malam esok (ini) dan kalau ikutkan dalam latihan pagi ini dia macam OK. Esok kita akan lihat lagi dan jika dia tak mengadu apa-apa (kesakitan) kami akan turunkan dia bagi membantu bahagian serangan,” katanya yang pernah membimbing Kelantan menjulang Piala Malaysia pada 2010.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 6:00am
d