arena

VFF jamin semua selamat

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PERSEKUTUAN Bolasepak Vietnam (VFF) akan berusaha memastikan soal keselamatan skuad Harimau Malaya dan penyokong Malaysia terjamin menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada 10 Oktober depan.

Jaminan itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Koordinasi Keselamatan antara FAM dan VFF di ibu pejabat persatuan itu di Hanoi pada Khamis lalu.

FAM dalam kenyataan hari ini memberitahu mesyuarat perancangan awal itu bagi memastikan keselamatan pemain dan penyokong Harimau Malaya terjamin menjelang aksi kedua-dua pasukan pada perlawanan ketiga Kumpulan G, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi.

Katanya, delegasi FAM dibarisi oleh Exco FAM merangkap Ahli Jawatankuasa Keselamatan FAM, Md Dali Wahid; Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman dan Ketua Unit Keselamatan FAM, Muhammad Ashtar Rahim manakala VFF diwakili Setiausaha Agung, Le Hoai Anh; Setiausaha Eksekutif, Cao Ngoc Cam serta wakil pihak berkuasa Vietnam.

"VFF menyatakan pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan akan berusaha untuk memastikan kawalan keselamatan yang baik dan teratur kepada pasukan Malaysia dan penyokong Harimau Malaya sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

"Turut dibincangkan adalah mengenai pengurusan tiket bagi penyokong Harimau Malaya yang akan ke Hanoi nanti," katanya.

Katanya, FAM berterima kasih dengan inisiatif dan kerjasama baik VFF dan pihak berkuasa Vietnam dalam hal berkaitan keselamatan dan berharap segalanya berjalan lancar menjelang hari perlawanan itu nanti.

Pada 5 September lalu biarpun mendapat jaminan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) berlaku kekecohan ketika aksi Malaysia menentang Indonesia pada perlawanan sulung pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 5:35pm
d