arena

Wales lepasi 'kejutan' Australia

Oleh AFP

JUARA Kejohanan Enam Negara, Wales mengambil langkah berani untuk mendahului Kumpulan D dengan menundukkan kekentalan Australia dengan 29-25 dalam aksi Piala Dunia Ragbi hari ini.

Skuad Wales mendahului 23-8 pada separuh masa pertama tetapi mereka terpaksa bertahan dengan serangan bertali arus Australia pada separuh masa kedua.

Wales yang menang 43-14 ke atas Georgia pada aksi pembukaan mereka, kini yakin mampu menamatkan aksi peringkat kumpulan tanpa kalah dengan berdepan Fiji di Oita pada 9 Oktober sebelum menentang Uruguay di Kumamoto empat hari kemudian.

“Lega pada ketika ini,” kata jurulatih Wales Warren Gatland ketika ditanya mengenai perasaannya selepas perlawanan itu.

“Separuh masa kedua yang sukar tetapi pemain berjaya mengharunginya.

“Ia perlawanan Test yang mencabar. Amat berpuas hati pada separuh masa pertama. Kami tidak mendapat banyak bola pada separuh masa kedua dan Australia berjaya mengasak kami dan memberikan tekanan yang amat hebat.

“Kami bagaimanapun berjaya bertahan hingga akhir perlawanan.

Kapten Australia Michael Hooper berkata perlawanan itu ‘sengit hingga ke saat akhir’.

“Semangat melonjak dalam pasukan. Ada yang menjadi dan ada yang tidak,” kata Hooper.

“Kami perlu bangkit. Kami akan melihatnya kembali. Mungkin ketika ini adalah kunci pemulihannya. Kami ada enam hari untuk bangkit. Dengan kejohanan dan format seperti ini, anda perlu segera bangkit.”

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 7:44pm
d