arena

Rachel juara Terbuka Malaysia

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PEMAIN skuasy kebangsaan, Rachel Arnold membuktikan dirinya berada pada kelas tersendiri apabila terus melakar kejutan dengan menjuarai Terbuka Malaysia, hari ini.

Pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu menundukkan rakan senegara yang juga juara bertahan, Low Wee Wern 11-7, 11-13, 10-12, 11-8, 11-5.

Dalam pertarungan selama sejam, dua sandaran negara itu mempamerkan aksi sengit sehingga membawa kepada set penentuan.

Rachel mengakui agak beremosi berikutan kejohanan itu kejayaan terbesar diperoleh dirinya setakat ini.

“Selepas menewaskan pilihan pertama (Rowan Elaraby dari Mesir) semalam, saya bertekad untuk terus fokus pada aksi final ini.

“Berbekalkan sokongan penyokong dan keluarga, saya berjaya menyerap segala tekanan dan tentangan sengit Wee Wern sekali gus muncul juara edisi kali ini,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Turut berkenan hadir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Semalam, pemain berusia 23 tahun itu mara selepas menundukkan Rowan yang juga bekas juara remaja dunia dalam pertarungan empat set 11-4, 11-7, 9-11, 11-7.

Untuk rekod, Rachel yang menghuni ranking ke-46 dunia tewas kepada Wee Wern 6-11, 11-7, 9-11, 3-11 dalam pertembungan di Kejohanan Skuasy Kebangsaan, Julai lalu.

Dalam pada itu, pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow turut muncul juara selepas menundukkan Nicholas Muller dari Switzerland 11-7, 12-14, 11-9, 11-5.

Kategori lelaki menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$30,000 (RM125,403) dan AS$20,000 (RM83,602) untuk kategori wanita.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 8:42pm
d