arena

Pahang sukar digugat

Oleh Asrol Awang

PAHANG tidak berdepan masalah mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Melaka United 3-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh mencatat kemenangan dengan agregat 6-1 hasil daripada kemenangan 3-0 pada suku akhir pertama, 22 September lalu.

Namun, aksi separuh masa pertama tidak seperti yang diharapkan apabila kedua-dua pasukan gagal tampil dengan permainan pantas dan bertenaga.

Ini kerana peluang terbaik tuan rumah hanya hadir menerusi sentuhan Lazarus Kaimbi tetapi jaringan penyerang import Namibia tidak disahkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-24.

Namun, Kaimbi tidak mengecewakan skuad itu terutama penyokong Tok Gajah apabila menjaringkan gol pendahuluan hasil lorongan Mohamadou Sumareh empat minit sebelum berakhir separuh masa pertama.

Sebaik bersambung babak kedua, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan yang ketinggalan menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan penyerang, Nazrin Nawi minit ke-54.

Pada minit ke-64, penyerang import tuan rumah, Dickson Nwakaeme kembali meletakkan skuad itu di depan selepas menewaskan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.

Nwakaeme yang juga pemain dari Nigeria menambah derita Melaka United apabila meletakkan tuan rumah selesa mendahului 3-1 pada minit ke-76.

Kemenangan itu menyaksikan Pahang berdepan Kedah pada aksi separuh akhir piala berprestij itu.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 11:48pm
d