arena

Sevilla bangkit leburkan impian Sociedad

Oleh Reuters

SEVILLA bangkit selepas mencatat dua kekalahan liga dan ketinggalan jaringan untuk menewaskan Real Sociedad, 3-2, awal pagi ini.

Ia adalah kemenangan pertama di gelanggang sendiri musim ini sekali gus menafikan peluang skuad Basque untuk berada di kedudukan teratas La Liga.

Sevilla tewas di gelanggang sendiri kepada Real Madrid minggu lalu dan terlepas peluang mendahului dua jaringan ketika tewas 2-3 di Eibar pada Khamis.

Permulaan tampak buruk buat Sevilla apabila Mikel Oyarzabal menjaringkan gol buat Sociedad di awal minit keempat selepas menerima hantaran Adnan Januzaj.

Barisan kendalian Julen Lopetegui berusaha mencari jaringan sehingga berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-18 menerusi rembatan separuh volley oleh Nolito.

Sevilla kemudian mendahului pada awal babak kedua permainan apabila Luca Ocampos menjaringkan gol.

Pemain gantian Franco Vazquez memastikan kemenangan seterusnya mata penuh buat Sevilla dengan menolak mudah ke gawang gol pada minit ke-80.

Walaupun Sociedad kembali merapatkan kedudukan tujuh minit kemudian menerusi Portu dalam perlawanan menarik itu.

“Kami mahukan kemenangan dalam perlawanan di gelanggang sendiri, saya fikir pemain bertindak balas dengan baik sekali pada hari yang sangat penting buat kami,” kata Lopetegui.

“Untuk memulakan perlawanan dengan kekalahan 0-1 selepas apa yang berlaku di Eibar sangat sukar tetapi kami berjaya menyamakan kedudukan dengan cepat dan itu satu perubahan.

“Saya berdebar di penghujung saingan apabila jaringan 3-2 tetapi saya fikir kami berhak mendapat mata berdepan pasukan yang bagus.”

Kemenangan itu membolehkan Sevilla di kedudukan keenam liga dengan 13 mata selepas tujuh perlawanan, dua di belakang pendahulu Real Madrid, sementara Sociedad di tempat kelima juga 13 mata.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 12:38pm
d