arena

Pochettino wira sejati Spurs : Perisic

Oleh Agensi

PEMAIN sayap Bayern Munich, Ivan Perisic menegaskan Mauricio Pochettino adalah bintang sebenar pasukan Tottenham Hotspur dan jurulatih itu mengubah perwatakan pasukan Inggeris itu.

Tottenham berjaya mencatat kemenangan penting ke atas Southampton di gelanggang sendiri pada Sabtu untuk mengetepikan beberapa cerita negatif yang berlegar sekitar pasukan itu sejak permulaan musim.

Aksi dalam saingan liga yang kurang konsisten ditampilkan Spurs pada penghujung musim lalu dan pasukan itu tidak menang di gelanggang lawan pada aksi Liga Perdana sejak Januari.

Bagaimanapun, Pochettino dan pasukannya berhak dihormati selepas aksi mengagumkan di Liga Juara-Juara musim lalu sehingga muncul naib juara dan Perisic berasakan taktikal pengendali Argentina itu adalah kunci kepada persembahan skuad dari Utara London itu.

Dia percaya Pochettino membina pasukan di Tottenham yang tidak putus asa dan pasukan lawan tidak boleh memandang mudah perlawanan bertemu mereka sehingga aksi selesai.

Tottenham akan melayan kunjungan Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu dan Perisic mengakui pasukannya perlu bekerja keras untuk memperoleh keputusan yang baik berdepan Spurs.

“Mereka mempunyai ramai pemain bagus dalam semua posisi dan jurulatih mereka adalah pemain yang bagus,” kata Perisic.

“Pochettino sudah mencipta mental yang sukar dipercayai. Dia sudah mengubah keseluruhan kelab.

“Kamu lihat di TV dan terutamanya di padang apabila mereka bermain. Mereka pemain yang sebenar, pesaing sebenar, dan apabila kamu tidak memberi tumpuan dalam 95 minit mereka akan menewaskan anda.”

“Ia ujian yang cukup bagus pada kami. Kami perlu melakukan segalanya dalam perlawanan itu untuk beroleh sesuatu yang lebih baik.”

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 1:24pm
d