arena

Zainal serah kepada MUSA

Oleh Asrol Awang

ZAINAL Abidin Hassan menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berhubung kedudukan selaku ketua jurulatih skuad itu sama ada kekal atau sebaliknya musim depan.

Zainal yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, setakat ini, tiada sebarang perbincangan mengenai jawatan itu selepas misi Melaka United terhenti di suku akhir Piala Malaysia

“Terpulang kepada pengurusan MUSA untuk mengadakan perbincangan kerana saya sedia menerima segala keputusan yang diumumkan nanti.

“Buat masa ini, skuad ini akan berehat seketika dan hanya menunggu keputusan selanjutnya selepas ini,” katanya.

Mengulas kekalahan 1-6 secara agregat di tangan Pahang malam tadi, beliau mengakui skuad Tok Gajah sukar ditewaskan.

Katanya, kekalahan 0-3 pada suku akhir pertama memberi tekanan biarpun skuad itu sudah melakukan segalanya untuk mengurangkan defisit gol.

“Biarpun kami ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama dan bangkit menyamakan kedudukan 1-1 di babak kedua.

“Namun, ketajaman jentera serangan tuan rumah menafikan hajat Melaka United melangkah ke separuh akhir.

“Saya terima kekalahan ini dan mengakui Pahang berada pada prestasi terbaik memandangkan mereka memiliki barisan pemain yang bagus,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 8:07pm
d