arena

Solskjaer gesa United contohi naluri Aubameyang

Oleh AFP

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menggalakkan penyerangnya mencontohi ‘naluri pemusnah’ Pierre-Emerick Aubameyang selepas jaringan peledak Arsenal itu membolehkan mereka seri 1-1 di Old Trafford, awal pagi tadi.

United kini hanya menang dua daripada tujuh aksi pertama Liga Perdana musim ini dan sekali lagi terlepas banyak peluang selain jaringan menerusi rembatan jarak jauh Scott McTominay sejurus sebelum tamat babak pertama.

Skuad Solskjaer gagal menjaringkan lebih daripada satu gol dalam setiap perlawanan sejak aksi pembukaan musim.

"Kami mendahului 1-0 dan selepas itu gagal menambah gol kedua yang kami cari. Itu sebagai pelajaran kali ini,” kata Solskjaer yang skuadnya kini terperosok di tangga ke-10 liga dengan sembilan mata sekali gus permulaan terburuk mereka dalam masa 30 tahun.

"Pemain terutamanya perlu lebih tajam, banyak perlawanan yang kami dahului 1-0.

"Kami akan belajar. Kami dalam proses membina sesuatu. Agak mengecewakan kami gagal mendapatkan gol kedua.”

Aubameyang tidak langsung terganggu dengan kibaran bendera offsaid yang pada mulanya menafikan jaringannya setengah jam sebelum tamat perlawanan.

Bagaimanapun, jaringan itu dibenarkan selepas reviu VAR mendapati pemain Gabon itu sebaris dengan Harry Maguire.

Aubameyang kini menjaringkan lapan gol dalam lapan perlawanan, termasuk tujuh dalam aksi Liga Perdana.

"Tujuh sekarang dalam tujuh perlawanan, jadi terbukti dia memang berbisa,” kata Solskjaer yang mengagumi Aubameyang.

Arsenal pula menduduki tangga keempat dengan 12 mata, sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 6:54am
d