arena

Kane sehebat Lewandowski

Oleh Agensi

JURULATIH Bayern Munich, Niko Kovac mengiktiraf Kane sehebat Robert Lewandowski menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Juara-Juara di Tottenham, awal pagi esok.

Juara Bundesliga, Bayern memulakan kempen dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Red Star Belgrade dalam Kumpulan B manakala naib juara musim lalu, Spurs hanya seri 2-2 di Olympiacos.

Lewandowski yang memulakan kempen 2019-20 dengan cemerlang menjaringkan gol kedua ketika menentang Red Star manakala Kane menjaringkan gol pendahuluan Tottenham menerusi penalti di Greece.

Kane kini menjaringkan enam gol dalam semua kejohanan musim ini berbanding Lewandowski 11 tetapi Kovac tidak dapat menyembunyikan kekaguman terhadap kewibawaan Kane yang dianggapnya setahap dengan ‘ayam tambatan’ Bayern berjersi nombor sembilan itu.

"Kualiti dimiliki Kane dalam Liga Perdana dan England menjadi bukti keupayaannya,” kata Kovac dalam sidang akhbar, awal pagi tadi.

"Dia sensasi dan mampu melakukan apa sahaja. Kepalanya bagus dan tangkas menguasai bola. Tiada apa tidak mampu dilakukannya. Kane penyerang yang kuat.

"Dia dan Lewandowski mungkin dalam senarai dua, tiga atau empat teratas dunia. Kita akan dapat saksikan esok. Saya akan beri beberapa maklumat kepada pasukan mengenai Kane.”

Kane menjaringkan lima gol dalam sembilan aksi sebelum mara ke final musim lalu tetapi tewas 0-2 kepada Liverpool di Madrid.

Walaupun skuad Mauricio Pochettino kini berdepan prestasi tidak menentu, Kovac percaya pencapaian Tottenham sejak beberapa musim lalu wajar dicontohi kelab lain.

"Saya jangkakan aksi yang sukar di stadium cantik itu. Suasananya pasti mengagumkan,” kata Kovac.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 7:31am
d