arena

Agilan sedia tundukkan Okami

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

ATLET seni bela diri campuran (MMA) Malaysia, Agilan Thani kembali membawa cabaran negara dalam pertarungan One Championship (ONE): Century Part 1 menentang Yushin Okami di Ryogoku Kokugikan, Tokyo, Jepun pada 13 Oktober ini.

Selepas berjaya menumpaskan jaguh dari Jepun, Yoshihiro Akiyama dalam ONE: Legendary Quest di Shanghai, China, 15 Jun lalu, Agilan bagaimanapun mengakui lawannya kali ini lebih sukar.

Katanya, Okami,35, yang digelar ‘Thunder’ lebih berpengalaman dan kuat serta mahir bergusti dan pertarungan di lantai.

“Saya tahu kemampuan diri sendiri berbekalkan pengalaman yang ada selama ini untuk menumpaskan dia.

“Tapi saya tidak mahu terlalu yakin sebab Yushin seorang atlet yang hebat dan tidak boleh dipandang mudah.

“Menerusi rakaman video perlawanannya, saya lihat dia mempunyai kawalan yang hebat ketika bertarung di lantai,” katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Okami memiliki 35 rekod kemenangan dan 14 kali tewas, manakala Agilan mencatat 10 kemenangan dan tiga kekalahan.

Rekod juga menunjukkan Okami tewas dalam dua pertarungan tahun ini iaitu kepada James Nakashima pada 2 Ogos lalu dan Kiamrian Abbasov (3 Mei).

Sementara itu Agilan yang digelar ‘Alligator’ dan juga pakar seni bela diri Brazilian Jiu-Jitsu berkata, dia menumpukan kepada latihan menyerang dan bertahan selain berusaha untuk menurunkan berat badan kepada 84 kilogram.

“Dalam pertarungan MMA ini sentiasa berubah. Bagi saya setiap kali habis perlawanan saya akan cuba perbaiki semua aspek termasuk serangan dan teknik bergusti di lantai,” katanya.

Atlet MMA Monarchy ini berlatih dengan kuat sejak lebih tiga bulan lalu dan teruja untuk pertarungan dengan Okami.

“Saya berkecimpung dalam sukan ini sejak usia 16 tahun dan satu perkara yang dipelajari adalah saya tidak boleh menghampakan diri sendiri. Saya ingin pergi ke Jepun dan pulang dengan kemenangan,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 6:52pm
d