arena

Beri saya masa: Griezmann

Oleh Reuters

PENYERANG Barcelona Antoine Griezmann berkata dia perlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya selepas bermula hambar di kelab itu sejak berpindah dari Athletico Madrid dengan nilai 120 juta euro (RM550 juta).

Pemain Perancis itu gagal menjaringkan gol dalam enam daripada lapan perlawanan kompetitif dan mula menjadi sasaran kritikan susulan aksi hambar Barca musim ini, yang menyaksikan mereka hilang lapan mata dalam tujuh perlawanan La Liga musim ini.

“Sukar untuk menyesuaikan diri 100 peratus dalam tempoh dua bulan,” kata Griezmann menjelang aksi Barca menentang Inter Milan dalam Kumpulan F Liga Juara-Juara awal pagi Khamis.

“Saya baru sampai di sini, falsafah permainannya berbeza dan saya perlu belajar dan perbaiki beberapa aspek tertentu.

“Saya rasa selesa di sini tetapi saya perlukan masa untuk menunjukkan peningkatan, terutamanya dalam pergerakan saya tanpa bola dan saya perlu lebih melibatkan diri dalam permainan.

“Saya rasa bagus dan yakin tetapi saya kekurangan beberapa perkara untuk menjadikan diri saya pemain terbaik. Saya fikir saya berada di laluan yang tepat.”

Kecederaan dihadapi Lionel Messi, Luis Suarez dan Ousmane Dembele menyebabkan Griezmann beraksi dalam enam gandingan serangan berbeza musim ini dan penyerang itu berkata ia sesuatu yang mudah difahami apabila dia masih belum mencapai tahap sebenar.

“Keadaan sentiasa mencabar apabila pemain seperti Ousmane, Leo, Luis atau Ansu Fati tidak beraksi, ini bermakna anda tidak boleh berlatih bersama jadi kami perlu cuba dan lakukan yang terbaik untuk menangani situasi ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 12:45am
d