arena

Felix menyinar di Moscow

Oleh AFP

PEMAIN remaja Portugal, Joao Felix menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Juara Juara selepas membantu Atletico Madrid meraih kemenangan berharga 2-0 di Lokomotiv Moscow, awal pagi tadi.

Felix berusia 19 tahun yang dibeli dengan harga rekod kelab meletakkan pelawat di hadapan tiga minit selepas rehat dan membantu Thomas Partey menjaringkan gol kedua setengah jam sebelum tamat perlawanan.

Skuad Diego Simeone kini menyamai empat mata dengan Juventus di puncak Kumpulan D yang menewaskan Bayer Leverkusen 3-0 di tempat sendiri.

Diego Costa terlepas peluang terbaik menjaringkan gol dalam kejohanan ini sejak September 2018 apabila bola sepakan sudut Felix singgah di kaki namun tolakannya tersasar.

Alvaro Morata yang turut kemarau jaringan hampir menembusi gawang dikawal Guilherme namun percubaannya diselamatkan penjaga gol tuan rumah itu sejurus sebelum tamat babak pertama.

Atletico yang bangkit selepas ketinggalan dua gol untuk memaksa keputusan seri dengan Juventus pada aksi pertama membuka tirai jaringan pada minit ke-48 apabila Felix menolak bola rembatannya yang gagal ditampan kemas Guilherme.

Felix yang muncul pemain termuda menjaringkan hatrik ketika menentang Benfica dalam aksi Liga Europa musim lalu membuka ruang untuk jaringan kedua apabila lariannya yang mengkucar kacirkan pertahanan lawan membolehkan Partey menolak bola masuk dari jarak dekat selepas mendapat hantaran Costa pada minit ke-58

Jan Oblak dua kali menyelamatkan percubaan Grzegorz Krychowiak bagi membolehkan Atletico kekal tanpa kalah dalam tujuh kunjungan mereka ke Rusia dengan empat kemenangan di Moscow.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 10:58am
d