arena

Tocang tiada masalah bertukar posisi

Oleh Asrol Awang

MOHD Faisal Rosli tidak berdepan masalah bertukar posisi daripada pemain tengah berbanding posisi asal di bahagian pertahanan skuad Pahang.

Dia yang pernah beraksi di posisi itu pada 2016 sebelum bertukar mengawal kubu Tok Gajah sentiasa bersedia andai menjadi pilihan jurulatih, Dollah Salleh.

"Saya tidak berdepan masalah beraksi di posisi tengah tapi ia bergantung kepada keputusan jurulatih sepertimana beraksi pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Melaka United Ahad lalu.

"Ini adalah kali pertama bertukar posisi selepas 2016 dan saya selesa tapi pada separuh akhir nanti mungkin saya kembali ke posisi asal.

"Berdepan Melaka United, saya menggantikan tempat Nor Azam Azih yang cedera dan selesa serta puas hati kerana membantu Pahang menang 3-1 ke atas Melaka United," katanya.

Ditanya aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar 19 Oktober ini, Mohd Faisal atau Tocang mengakui lawan memiliki kelebihan terutama sokongan padu peminat Lang Merah.

Namun, katanya, skuad itu percaya mampu untuk menafikan skuad Lang Merah daripada mendapat kemenangan.

"Kami tidak boleh tewas di Alor Setar dan jika menang atau seri ia memberi kelebihan untuk mempamerkan aksi lebih baik pada perlawanan kedua di Kuantan nanti.

"Musim lalu misi kami tersekat di suku akhir dan sudah pasti apabila berada di tahap ini, final menjadi impian kami," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 4:39pm
d