arena

Opimax Holdings taja ToP 2019

Oleh Azlan Muhammad Zain

TOUR of Peninsular (ToP) 2019 mendapat penajaan terbesar menjelang perlumbaan yang berbaki kira-kira dua minggu lagi.

Penajaan dari Opimax Holdings Sdn Bhd dapat menjayakan acara berstatus 2.1 yang pertama di Malaysia.

Ini bermakna syarikat berkenaan akan menaja jersi kuning ToP 2019 yang juga juara kategori individu keseluruhan.

“Edisi pertama adalah mengenai pelaburan dari aspek kewangan, masa dan tenaga. Kita mengharapkan ToP akan berterusan setiap tahun.

“Jadi saya mengajak semua pihak memberikan sokongan kepada perlumbaan ini,” kata Pengerusi Eksekutif Motoshoot Event Sdn Bhd, Datuk Muhd Opandi Che Wook yang juga penganjur kepada ToP 2019.

ToP 2019 dilihat berbeza apabila menjanjikan wang hadiah kemenangan berjumlah RM329,500 yang akan dibayar sebaik perlumbaan berakhir.

Ia akan dibayar tunai pada hari akhir perlumbaan dan akan dibayar sepenuhnya kepada kesemua pasukan dan pelumba yang memenangi hadiah dalam setiap kategori yang sekali gus memberikan implikasi positif untuk mereka kembali pada masa depan.

Pihak penganjur Motoshoot Event Sdn Bhd pada masa sama turut melunaskan bayaran sebanyak 80 peratus kepada kontraktor yang terbabit sebelum perlumbaan bermula.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi (COO) ToP 2019, Emir Abdul Jalal menjelaskan terdapat perubahan saat akhir susulan arahan berkabung di Kelantan berikutan kemangkatan ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra pada 28 September lalu.

Menurutnya perlumbaan yang bermula di Terengganu tidak akan melalui Kelantan seperti dirancang namun akan merentasi Pahang dan masih berakhir di Setiawangsa.

Kejohanan berbasikal ToP 2019 bakal mewarnai kalendar berbasikal negara dengan acara berstatus 2.1 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa bermula dari 15 hingga 19 Oktober ini.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 7:59pm
d