arena

Mata bonus julang Perancis

Oleh AFP

PERANCIS melakukan tiga try pada babak akhir permainan ke atas Amerika Syarikat hari ini untuk mencatat mata bonus penting dalam ‘kumpulan maut’ Piala Dunia Ragbi apabila menang 33-9.

Les Bleus mendahului 12-9 dengan baki permainan 13 minit sebelum Gael Fickou, Baptiste Serin dan Jefferson Poirot memastikan kemenangan ke atas pasukan bukan pilihan itu.

Bagi pengikut ragbi Perancis, ia aksi yang kurang konsisten apabila kelincahan mereka dicemari beberapa kesilapan.

Namun mata bonus terus memberi tekanan terhadap musuh lama, England yang akan menentang Argentina pada Sabtu dalam satu lagi aksi Kumpulan C.

“Ia perlawanan yang amat sukar tetapi perkara yang penting, kami menang dengan mata bonus,” kata fly-half Camille Lopez, yang turut menerima anugerah pemain terbaik perlawanan.

Kapten Amerika Syarikat Blaine Scully gembira pasukannya mampu memberi tekanan terhadap Perancis, finalis Piala Dunia tiga kali, sehingga ke babak akhir perlawanan.

“Inilah tahap yang kami mahukan. Kami mahu menguji pasukan dalam kejohanan terbaik menentang pasukan terbaik di dunia,” kata Scully.

“Kami tidak mengharapkan apa-apa dan kami tidak menjangkakan mereka akan bermurah hati kepada kami.”

Perlawanan berikutnya bagi Perancis adalah berdepan Tonga pada 6 Oktober sebelum aksi ‘Le Crunch’ berdepan England di Yokohama yang akan menentukan siapa akan mendahului kumpulan dan mara ke suku akhir menentang Australia.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 8:02pm
d