arena

Dina, Holloway raih emas Kejohanan Dunia

Oleh AFP

DINA Asher-Smith menamatkan penantian 36 tahun Britain bagi kejuaraan pecut pada Kejohanan Dunia awal pagi tadi ketika Grant Holloway dari Amerika Syarikat mengungguli acara 110m lari berpagar.

Dina, pemenang pingat perak acara 100m, mendominasi barisan pelari 200m yang terjejas kerana kecederaan dan penarikan diri untuk meraih emas dengan masa 21.88 saat di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Atlet berusia 23 tahun itu muncul pelari wanita pertama Britain menang emas sama ada 100m atau 200m dalam sejarah Kejohanan Dunia.

“Saya tak tahu apa nak kata,” kata Dina kepada BBC.

“Saya bangun pagi tadi memikirkan ‘inilah masanya. Inilah saatnya anda menghargai semua kerja keras selama ini’. Rasa letih sudah tiada.

“Saya kehilangan kata-kata. Saya memang mengimpikannya dan kini ia benar-benar berlaku.”

Brittany Brown dari AS meraih perak dengan 22.22s manakala Mujinga Kambundji dari Switzerland mengutip gangsa dengan 22.51s.

Perlumbaan dramatik final 110m lari berpagar menyaksikan Holloway meraih kemenangan dengan masa 13.10s selepas mendahului dari awal hingga penamat.

Juara Olimpik dan penyandang juara dunia Omar McLeod kelihatan menghampiri Holloway pada saat akhir namun terjatuh di halangan terakhir.

Sergey Shubenkov, juara dunia pada 2015, merangkul perak dengan masa 13.15s manakala pelari Perancis, Pascal Martinot-Lagarde ketiga 13.18s.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 11:06am
d