arena

Tok Gajah tak terjejas tanpa Dollah

Oleh Asrol Awang

KETIADAAN Dollah Salleh selama dua minggu kerana mengikuti kursus kejurulatihan di Jepun tidak mengganggu persediaan Pahang menghadapi aksi separuh akhir Piala Malaysia pada 19 dan 26 Oktober ini.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata ini kerana dua penolong jurulatih, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Shahrulnizam Sahat mampu memikul tanggungjawab itu.

"Biarpun tanpa Dollah (jurulatih), komunikasi antara jurulatih dan dua penolong jurulatih sentiasa ada untuk menilai prestasi semasa skuad Tok Gajah.

"Bagi saya, Pahang tiada masalah kerana semua pemain sudah biasa kerana sebelum ini ada ketikanya Dollah tidak bersama pasukan kerana mengikuti kursus kejurulatihan.

"Oleh itu, Shaharuddin dan Shahrulnizam mampu untuk mengendalikan pasukan sepanjang ketiadaan Dollah dan enam pemain yang bersama skuad negara," katanya.

Bermula 1 Oktober hingga 14 Oktober ini, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan mengikuti kursus kejurulatihan di Jepun.

Skuad Pahang juga tanpa enam pemain, masing-masing Matthew Davies, Norshahrul Idlan Talaha, Nor Azam Azih dan Mohamadou Sumareh bersama skuad Harimau Malaya.

Dua import pula, masing-masing Saddil Ramdani dan Safuwan Baharudin bersama skuad Indonesia dan Singapura.

Justeru, Mohammed Suffian mahu pemain yang ada termasuk tiga import iaitu Harold Goulon, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi mengekalkan prestasi masing-masing.

Pada separuh akhir Piala Malaysia, skuad Tok Gajah berdepan Kedah yang juga juara Piala FA di Stadium Darul Aman pada 19 Oktober sebelum bertemu sekali lagi di Stadium Darul Makmur pada 26 Oktober ini.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 3:59pm
d