arena

Rifdean mara empat terakhir Remaja Dunia

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KETUA pasukan Muay Thai Negara, Mohamad Rifdean Masdor melangkah ke separuh akhir bagi kategori lelaki 45 kilogram (kg) pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya, Turki, hari ini menumpaskan peninju Sri Lanka. 

Mohamad Rifdean, 17, menewaskan Oshan Wathsuka Pieris dengan keputusan knockout (KO) pada pusingan kedua. 

Dengan kemenangan itu, Mohamad Rifdean yang juga pemenang pingat emas pada Kejohanan Muay Thai Asia Timur di Hong Kong, bulan lalu, akan bertemu peninju Vietnam, Toan Trong Nguyen pada aksi separuh akhir, esok. 

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin ketika dihubungi jelas gembira dengan prestasi ditunjukkan anak didiknya itu apabila berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan KO. 

"Memang saya harapkan Rifdean menang KO kerana tidak mahu dia membazirkan tenaga pada pusingan awal ini, dia (Rifdean) sudah menunjukkan prestasi terbaiknya hari ini. 

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dan akan membuat sedikit persiapan bagi pertemuan menentang peninju Vietnam esok," katanya yang kini berada di Turki. 

Selain Mohamad Rifdean, seorang lagi peninju Muay Thai Perak, Nur Amisha Azririzal,17, sudah terlebih dahulu melayakkan diri ke pusingan separuh akhir semalam dan akan beraksi menentang peninju tuan rumah, Sevgi Dogan, esok. 

Bagaimanapun, seorang lagi peninju Muay Thai Perak, Ha Xe Xiang,17, yang beraksi bagi kategori lelaki 60kg kurang bernasib baik apabila tewas dengan keputusan KO pada peninju Ukraine, Mykyta Goncharenko.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 7:08pm
d