arena

Youcef ungguli peringkat kedua di Iran

Oleh Azlan Muhammad Zain

TERENGGANU Inc TSG Cycling Team (TSG) mengungguli peringkat kedua Tour of Iran apabila pelumbanya, Youcef Reguigui muncul juara pada saingan yang mencabar itu.

Youcef pelumba kelahiran Algeria itu menamatkan saingan sejauh 180 kilometer dari Aras ke Khoy dengan masa empat jam 25 minit 07 saat dicabar hebat Clint Hendricks (ProTouch) dan Mohammad Ganjkhanlou (Foolad Mobarakeh Sepahan) yang menduduki tempat kedua dan ketiga.

Kemenangan berkenaan turut membolehkan Youcef merampas jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan.

"Pendakian pertama pasukan agak kelam kabut apabila empat pelumba tercicir di kelompok kedua dan ketiga dengan hanya Youcef berada di kumpulan pertama.

"Namun selepas pendakian kedua, kita berjaya menyusun kembali pelumba bagi membantu Youcef berada di barisan hadapan membuat pecutan di garisan penamat," menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Pada peringkat pertama semalam, Youcef meraih tempat kedua dan menyarung jersi kategori bukit.

Perlumbaan peringkat ketiga Tour of Iran yang berstatus 2.1 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan diteruskan esok dari Urmia ke Tabriz sejauh 163km.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 8:26pm
d