arena

Tiga terbaik sasaran Nor Saiful

Oleh Saiful Affendy Sapran

WALAUPUN tidak menjalani persiapan rapi, skuad hoki remaja negara tetap disasarkan untuk meraih keputusan tiga terbaik pada edisi kesembilan kejohanan Piala Sultan Johor bermula 12 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Ketua jurulatih Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, ia sekali gus cuba untuk memperbaiki penamat kelima musim lalu ketika beliau gagal mendapatkan khidmat beberapa pemain utama yang terbabit dengan Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires.

“Persiapan kali ini jelas lebih baik berbanding tahun lalu sebab setiap pemain sudah lama beraksi bersama.

“Saya percaya pemain akan berusaha untuk beraksi pada perlawanan penentuan podium. Bermakna final atau untuk penentuan ketiga-keempat,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil, hari ini.

Nor Saiful yang juga bekas kapten skuad negara mengakui pemainnya tidak berpeluang beraksi perlawanan persahabatan kompetitif di luar negara bagi persediaan Piala Sultan Johor.

“Memang kami ada rancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan di China tapi ia tidak jadi kerana ketika itu ada sesuatu yang berlaku di sana.

“Kemudian kami juga menjemput Pakistan untuk hadir tapi mereka menolaknya kerana kesuntukan masa. Namun kami dapat juga bermain dengan pasukan seperti Brazil.”

Selain Malaysia, lima lagi pasukan yang bertanding pada edisi kali ini adalah Australia, India, Jepun, New Zealand serta Britain selaku juara bertahan.

Malaysia pernah muncul juara pada edisi sulung 2011 ketika di bawah bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 3:14pm
d