arena

Nasib Zainal hujung bulan ini

Oleh Nazri Abu Bakar

KEDUDUKAN kontrak ketua jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan akan dibincangkan dalam mesyuarat Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) hujung bulan ini.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata, kontrak pengendali Hang Tuah itu hanya akan berakhir November ini dan keputusan penyambungan akan ditentukan Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Katanya, dia tidak pasti dengan keputusan penyambungan berikutan terserah dalam mesyuarat berkenaan.

"Pada dasarnya presiden berpuas hati dengan sumbangan Zainal yang meletakkan Melaka di tangga keenam Liga Super musim ini.

"Bagaimanapun, semuanya akan ditentukan dalam mesyuarat berkenaan kelak," katanya.

Sebelum ini Zainal menyerahkan kepada MUSA berhubung kedudukannya selaku ketua jurulatih skuad itu sama ada kekal atau sebaliknya.

Zainal yang juga bekas pemain kebangsaan menjelaskan setakat ini, tiada sebarang perbincangan mengenai jawatan itu selepas kemaraan Melaka terhenti di suku akhir Piala Malaysia.

“Terpulang kepada pengurusan MUSA untuk mengadakan perbincangan kerana saya sedia menerima segala keputusan diumumkan nanti. Buat masa ini, skuad ini akan berehat seketika dan hanya menunggu keputusan selanjutnya selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 10:05pm
d