arena

Klopp jangka sambutan hangat buat Rodgers

Oleh AFP

JURGEN Klopp percaya Brendan Rodgers bakal menerima sambutan hangat apabila kali pertama kembali ke Anfield sebagai pengurus pasukan lawan tetapi memberi amaran Leicester akan memastikan kunjungan mereka malam esok bukan ‘aksi persahabatan’.

Hampir empat tahun lalu sejak dipecat Liverpool, pengendali dari Ireland Utara itu akan membawa Foxes yang kini berada dalam prestasi terbaik ke Merseyside untuk pertembungan pasukan teratas Liga Perdana.

"Sambutan sudah pasti baik sama daripada sebelah saya atau penyokong tetapi ia tetap bukan aksi persahabatan dan itu yang akan kami pastikan,” kata pengurus Liverpool itu ketika sidang akhbar hari ini.

"Kami akan beraksi sebaik mungkin dan itu yang akan kami lakukan.”

Leicester berkunjung ke Anfield selepas menang besar 5-0 ke atas Newcastle United di Stadium King Power, Ahad lalu.

Liverpool pula kini di puncak liga dengan tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan yang juga kemenangan ke-16 berturut-turut aksi liga.

Klopp memuji pencapaian bekas pengurus Celtic itu di Leicester yang kini menduduki tangga ketiga Liga Perdana dengan tujuh mata di belakang Liverpool.

Jika Liverpool mahu meneruskan momentum kemenangan, Klopp tahu mereka mesti mengekang kelincahan Jamie Vardy yang menjaringkan tujuh gol dalam sembilan aksi menentang The Reds dan Vardy telah menjaringkan lima gol musim ini.

"Kami tahu kepantasannya, jadi kami perlu berada di tempat dan masa yang betul untuk mengekangnya. Tiada alternatif lain.”

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 11:51pm
d