arena

Hup Wei di tangga kelapan

Oleh BERNAMA

BIARPUN tidak berakhir di podium namun kejayaan Lee Hup Wei ke pusingan akhir acara lompat tinggi Kejohanan Dunia di Doha sudah cukup membanggakan.

Apa tidaknya, atlet dari Selangor itu melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama negara layak ke final kejohanan itu selepas melakukan lompatan setinggi 2.29 meter pada pusingan kelayakan, Selasa lalu.

Pada pusingan akhir di Stadium Antarabangsa Khalifa awal pagi tadi, Hup Wei, 32, bagaimanapun gagal menyempurnakan lompatan 2.30m untuk menyamai rekod kebangsaan milik Nauraj Singh Randhawa apabila sekadar melepasi ketinggian 2.27m.

Dia berakhir di tangga kelapan daripada 12 peserta final dengan pingat emas menjadi milik jaguh Asia, Mutaz Essa Barshim dari Qatar dengan catatan 2.37m manakala pingat perak dan gangsa pula masing-masing diraih oleh dua atlet Russia yang bertanding atas tiket neutral, Mikhail Akimenko dan Ilya Ivanyuk (2.35m).

Hup Wei yang bertanding atas tiket wildcard melepasi dua had ketinggian dengan satu percubaan bermula 2.19m dan 2.24m sebelum melepasi 2.27m menerusi percubaan kedua namun cubaannya bagi ketinggian 2.30m tidak berhasil.

Catatan 2.27m juga meleburkan peluangnya untuk melakukan lompatan seterusnya setinggi 2.33m bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara merit.

Sebelum ini, juara Kejohanan Asia 2007 yang juga pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu layak ke Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 9:36am
d