arena

Emas 400m Gardiner buat Bahamas

Oleh AFP

STEVEN Gardiner muncul pelari kedua Bahamas memenangi acara 400 meter lelaki pada Kejohanan Dunia apabila dia melakar kejayaan menarik di Doha, awal pagi tadi.

Pelari berusia 24 tahun itu, pemenang pingat perak pada 2017, mencatat rekod kebangsaan negaranya 43.48 saat untuk menyamai pencapaian rakan senegara Avard Moncur yang muncul juara pada 2001.

“Melintasi garisan penamat di tangga pertama dengan catatan terbaik peribadi dan satu rekod kebangsaan – ia satu perasaan terbaik ketika ini,” kata Gardiner.

“Tiada sebarang tekanan, saya menerima banyak mesej daripada keluarga dan rakan serta penyokong di negara sendiri.

“Mereka memberitahu saya supaya melakukan yang terbaik. Mereka pasti berbangga dengan kejayaan ini.

“Saya mahu memberikan mereka lebih lagi daripada yang terbaik. Saya mahu muncul juara dunia dan itulah yang saya lakukan sekarang.”

Juara Sukan Pan-Amerika dari Colombia, Anthony Zambrano meraih perak dengan masa 44.15s manakala Fred Kerley dari Amerika Syarikat gangsa 44.17s.

Kegagalan Kerley menyaksikan AS terlepas peluang muncul negara pertama menyapu bersih acara 100m, 200m, 400m dan 800m lelaki pada kejohanan itu.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 1:18pm
d