arena

MPPA juara futsal TNB-Media 2019

SEJUMLAH 15 pasukan pengamal media menyertai Kejohanan Futsal TNB-Media bertempat di gelanggang futsal Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Kejohanan anjuran TNB dengan kerjasama Kelab Kilat Kuala Lumpur dijalankan dalam tiga kumpulan dengan dua pasukan teratas layak ke suku akhir sementara dua lagi tempat diberikan kepada dua pasukan terbaik dari segi pengiraan mata dan jaringan.

Program dirasmikan Ketua Pegawai Korprorat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman. Hadir sama Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek merangkap Yang DiPertua Kelab Kilat Kuala Lumpur dan Ketua (Newsroom) TNB, Mohd 'Arshi Mat Daud.

Datuk Wira Roslan dalam ucapan perasmian berkata, program dianjurkan pihaknya itu sebahagian daripada program memeriahkan Bulan Sukan Negara yang disambut pada Oktober.

"Selain mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan pemain dan penganjur program ini juga menggalakkan aktiviti sihat melalui sukan futsal.

"Jika program ini mendapat sambutan menggalakkan tidak mustahil penganjurannya akan diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Dalam kejohanan itu, Malaysian Press Photographer Association (MPPA) muncul juara selepas menewaskan Utusan Malaysia 2-0 pada aksi final.

MPPA membawa pulang trofi serta wang tunai RM2,000 manakala Utusan Malaysia membawa pulang RM1,500.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing milik Sinar Harian dan TV3. Pasukan lain yang turut mengambil bahagian adalah Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times, BERNAMA, Bernama News Channel, Radio Televisyen Malaysia (RTM), The Sun, Astro Awani, Malaysian Gazette dan Pertubuhan Media Tamil Malaysia.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 7:45pm
d