arena

Semangat samurai cetus kemenangan Jepun

Oleh AFP

TUAN rumah Jepun menyerlahkan semangat samurai ketika menewaskan Samoa 38-19 untuk menghampiri pentas suku akhir Piala Dunia Ragbi hari ini.

Try pemain kelahiran Samoa, Timothy Lafaele, Kazuki Himeno, Kenki Fukuoka dan Kotaro Matsushima membantu mereka meraih kemenangan ketiga berturut-turut sekali gus menduduki takhta Kumpulan A.

Selepas menewaskan Rusia 30-10 dan mengejutkan Ireland 19-12, Jepun bakal berdepan Scotland yang juga perlawanan terbesar dalam sejarah ragbi negara itu.

"Saya sangat bangga dengan pasukan kami terutamanya pada babak akhir, ia semangat perjuangan yang tinggi,” kata jurulatih Jepun, Jamie Joseph.

"Kepercayaan dalam pasukan ini makin mantap dan kami perlukannya minggu depan.”

Kekalahan itu mengakhiri peluang pasukan Kepulauan Pasifik itu untuk layak kali pertama ke peringkat kalah mati sejak 1995 walaupun kedudukan terakhir kumpulan hanya ditentukan selepas pertembungan Jepun dan Scotland di Yokohama pada 13 Oktober.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 9:26pm
d