arena

Harimau Malaya ratah Sri Lanka

Oleh Firdaus Hashim

SKUAD Harimau Malaya menghantar amaran awal kepada Vietnam apabila garang membenam Sri Lanka 6-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Malaysia yang akan berkunjung ke Hanoi berdepan skuad Naga Emas pada aksi ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Khamis ini jelas sudah bersedia memburu kemenangan kedua dalam kempen kelayakan selepas menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi pertama sebelum tumbang 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu.

Malah ia juga kemenangan ketiga terbesar sepanjang Tan Cheng Hoe mengendalikan pasukan sejak Disember 2017 di mana Timor Leste menjadi mangsa amukan apabila diratah 7-1 dan 5-1 dalam dua aksi playoff Kelayakan Piala Dunia yang dijalankan secara timbal balik pada Jun lalu.

Dalam aksi yang nyata dikuasai sepenuhnya tuan rumah menyaksikan anak didik Cheng Hoe mula mengatur gerakan sejak awal dalam usaha memecahkan benteng pelawat.

Sri Lanka yang bakal berdepan Korea Selatan dalam aksi kelayakan Khamis ini dikejutkan dengan gol awal apabila Syafiq Ahmad bijak menyambut bola hantaran Safawi Rasid pada minit kelapan.

Tonggak pertahanan Shahrul Saad menambah gol kedua hasil sepakan sudut yang berjaya dihidunya sekali gus menewaskan penjaga gol Hilmi Luthfi di minit ke-14.

Ketika Sri Lanka cuba bangkit, tuan rumah bagaimanapun terus bernafsu dengan menjaringkan gol ketiga menerusi penyerang veteran NorShahrul Idlan Talaha untuk menamatkan aksi babak pertama dengan 3-0.

Bersambung separuh masa kedua, Cheng Hoe memasukkan beberapa pemain baharu dan jentera serangan negara terus merobek memburu gol tambahan.

Akhyar Rashid mencetak nama selaku penjaring untuk gol keempat pada minit ke-51 sebelum Syafiq sekali lagi mempamerkan bisanya dengan dua gol masing-masing di minit ke-76 dan 88 sekaligus hatrik pertama di pentas antarabangsa.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 10:54pm
d