arena

Hazard ledak gol buat Real Madrid

Oleh Reuters

EDEN Hazard akhirnya meledak gol pertamanya buat Real Madrid ketika membantu kelabnya itu menewaskan pasukan di tempat kedua saingan La Liga, Granada 4-2 di Santiago Bernabeu, awal pagi ini.

Gol sumbangan Hazard, Karim Benzema dan rembatan jarak jauh daripada Luka Modric meletakkan Real di kedudukan selesa mendahului dengan tiga gol namun penalti disempurnakan Darwin Machis dan rembatan jarak dekat daripada Domingos Duarte memberi sorakan kuat daripada penyokong untuk kebangkitan lewat.

Pemain gantian James Rodriguez memastikan kemenangan menerusi gol pada minit akhir perlawanan, membolehkan Real memungut 18 mata selepas lapan perlawanan manakala Granada di tempat kedua dengan 14 mata.

Pertahanan Real, Dani Carvajal tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbang apabila pasukannya membenarkan dua gol lewat, yang turut mengimbau kemenangan tipis 3-2 ke atas Levante awal musim ini.

“Kami tidak mampu meratapi nasib seperti itu selepas mendahului 3-0, kami harus memperbaiki kelemahan ini. Kami berjaya mengatasinya hari ini dan berdepan Levante tetapi jika kami terus melakukan seperti ini kami akan kehilangan mata,” katanya.

“Ia bukan petanda kami sudah selesa dan kami harus lebih konsisten tetapi apa yang berlaku sekalipun minggu ini kami tetapi di kedudukan teratas.”

Keputusan perlawanan Liga Sepanyol

Leganes 1 Levante 2

Real Madrid 4 Granada 2

Valencia 2 Deportivo Alaves 1

Osasuna 2 Villarreal 1

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 9:34am
d