arena

Wolves hukum kepincangan City

Oleh Reuters

MANCHESTER City berdepan kekalahan mengejut 0-2 di laman sendiri di tangan Wolverhampton Wanderers malam ini yang meletakkan pasukan itu lapan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Dua jaringan pada separuh masa kedua daripada penyerang Wolves Adama Traore menghukum juara bertahan itu dengan kekalahan pertama di laman sendiri sejak tewas kepada Crystal Palace pada 22 Disember lalu.

Ia adalah kekalahan kedua City dalam empat aksi liga terakhir sejak tewas 2-3 di Norwich City bulan lalu dan ia meningkatkan keyakinan Liverpool bahawa mereka mampu menjulang gelaran liga buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

City tampak goyah di bahagian pertahanan sepanjang perlawanan dengan Wolves mendapat tiga peluang terbaik untuk membuka jaringan pada separuh masa pertama selepas melepasi gandingan pertahanan menerusi Nicolas Otamendi dan Fernandinho.

Malah skuad Pep Guardiola juga tampak tumpul di bahagian serangan dan mereka hampir meledak jaringan pada minit ke-67 apabila sepakan percuma David Silva yang terkena palang.

Tamparan hebat hadir apabila Raul Jimenez berlari dan berjaya melepasi Otamendi dan membuat hantaran ke arah Traore yang tenang meledak bola melepasi Ederson.

Traore kemudiannya menambah gol kedua, pada minit terakhir selepas serangan balas yang menembusi pertahanan City yang terdedah.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 11:52pm
d