arena

United tiada keyakinan: Solskjaer

Oleh AFP

OLE Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United mengalami krisis keyakinan selepas Matty Longstaff menandakan penampilan sulungnya dalam Liga Perdana Inggeris dengan jaringan menakjubkan yang membantu Newcastle menang mengejut 1-0, lewat malam tadi.

Anak buah Solskjaer dihukum susulan persembahan hambar terbaru mereka ketika Longstaff meraih gol sulung buat Newcastle pada babak kedua di St James’ Park.

United tersadai hanya dua mata di atas zon penyingkiran di tangga ke-12 selepas tidak menang dalam tiga aksi liga berturut-turut.

Ia persembahan terburuk United, memandangkan tentangan sengit diberikan Newcastle yang turut mengharungi beberapa minggu buruk pada awal musim.

“Kami kecewa. Kami kekurangan beberapa pemain utama tapi ia bukannya alasan,” kata Solskjaer.

“Sesetengah pemain tidak begitu tenang dan kami tidak mencipta cukup peluang untuk memenangi perlawanan bola sepak.

“Babak pertama persembahan paling berterabur pernah saya saksikan. Pada babak kedua kami menguasai tapi tidak mencipta peluang.”

Paling membimbangkan, kemenangan tunggal United dalam lima aksi terakhir bagi semua pertandingan hadir menerusi penentuan penalti menentang kelab kerdil Rochdale pada kempen Piala Liga Inggeris.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 8:21am
d