arena

Guardiola gesa City bangkit

Oleh AFP

PEP Guardiola mengakui Manchester City mesti bangkit selepas kalah mengejut 0-2 di tangan Wolves meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris itu lapan mata di belakang pendahulu Liverpool.

Dua gol lewat daripada pemain sayap Wolves, Adama Traore lewat malam tadi mencetus kekalahan pertama City di Stadium Etihad sejak Disember lalu.

Dengan 16 mata daripada lapan perlawanan, ia permulaan terburuk City bagi kempen liga dalam tempoh enam tahun.

Mereka ketinggalan jauh di belakang Liverpool selepas Wolves menyertai Norwich sebagai pemenang tidak diduga menentang City musim ini.

Sebaliknya, Liverpool menikmati rekod 100 peratus di puncak carta Liga Perdana selepas menang lapan aksi berturut-turut.

Guardiola tidak mempunyai alasan susulan persembahan buruk City dan beliau cuba untuk tidak memikirkan mengenai kelebihan dimiliki Liverpool ketika ini.

“Ia hari yang buruk, perlawanan yang teruk, tapi kami harus memuji lawan kami,” katanya.

“Hari ini kami tidak berada di tahap sebenar. Kami berdepan masalah untuk mempamerkan permainan biasa. Kami berdepan banyak pasukan yang asyik bertahan dan menemui cara mengatasinya, tapi tidak kali ini.

“Kami tidak mantap ketika gerakan gol. Ia bukannya mengenai benteng pertahanan kami. Apabila kami kehilangan bola mereka boleh menghukum kami dan ia membuatkan kami gementar.

“Jurang dengan Liverpool besar, tapi kami tidak perlu memikirkan mengenai jurang lapan mata. Kami masih berada di bulan Oktober dan ada banyak perlawanan serta pertandingan yang perlu diharungi.”

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 8:42am
d