arena

Sivasangari cipta kejutan Terbuka AS

Oleh Iskandar Shah Mohamed

JAGUH skuasy wanita negara, S Sivasangari mempamerkan aksi cemerlang apabila menyingkirkan pemain pilihan pada pusingan kedua kejohanan Terbuka Amerika Syarikat di Philadelphia, awal pagi tadi.

Pada aksi di Universiti Drexel, juara kebangsaan dari Kedah itu menundukkan pemain ranking ke-13 dunia, Alison Waters dari England.

Sivasangari yang menghuni ranking ke-48 dunia bagaimanapun terpaksa bermandi peluh apabila diberi tentangan sengit pilihan ke-10 itu sebelum menang 11-5, 4-11, 11-7, 11-9 dalam masa 41 minit.

Pada pusingan ketiga esok, juara Terbuka Australia berusia 20 tahun itu akan menentang pilihan keenam, Sarah-Jane Perry dari England yang menewaskan pemain Kanada, Hollie Naughton.

Hasrat seorang lagi jaguh negara, Low Wee Wern untuk mara bagaimanapun terbantut apabila tewas di tangan Salma Hany dari Mesir 5-11, 7-11, 2-11.

Bekas pemain utama negara, Datuk Nicol David pernah menjuarai Terbuka AS tiga kali berturut-turut dari 2012 hingga 2014.

Kejohanan hingga Sabtu ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$185,500 (RM776,000) bagi kategori lelaki dan wanita.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 10:43am
d