arena

UCI senarai LTdL 2020 dalam Pro Series

Oleh Azlan Muhammad Zain

LE Tour de Langkawi (LTdL) 2020 kembali mendapat perhatian dunia apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bersetuju menyenaraikannya dalam kategori ProSeries (siri profesional).

Terdahulu Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif UCI pada 26 September lalu meletakkan LTdL 2020 untuk diturunkan dalam kategori 2.1 susulan beberapa isu termasuk ketiadaan pasukan World Tour pada edisi tahun ini.

Bagaimanapun, menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab, beberapa siri perbincangan diadakan dengan UCI yang diketuai Datuk Amarjit Singh selaku ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif UCI berjaya meyakinkan badan antarabangsa itu.

"Jadi pada 5 Oktober (Sabtu lalu), kami mendapat surat dari UCI memaklumkan LTdL 2020 akan disenaraikan dalam ProSeries.

"UCI tidak memberikan sebarang amaran namun terdapat beberapa perkara perlu dipenuhi seperti sekurang-kurangnya enam pasukan World Tour," katanya.

UCI memansuhkan kategori hors pada kalendar perlumbaan tahun depan dengan memperkenalkan ProSeries bagi menggantikannya.

Bagaimanapun, LTdL tersisih untuk tersenarai dalam ProSeries pada mesyuarat 26 September berkenaan dengan Amarjit mengesahkan edisi 2020 akan berstatus 2.1.

"Selepas keputusan itu, kami terus berusaha dengan siri perbincangan diadakan untuk meyakinkan mereka dan akhirnya berjaya," kata Amarjit yang juga Naib Presiden PKBM.

Keputusan ini membolehkan LTdL menjadi salah satu dari empat perlumbaan dalam Jelajah Asia yang berstatus ProSeries.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 7:40pm
d