arena

Guardiola terpaksa bercuti ke Maldives...

Oleh Agensi/Esme Jo

PEP Guardiola berdepan masalah melelapkan mata kerana memerlukan ketenangan dan berehat di bawah panas matahari terik.

Bos Manchester City itu menuju ke lapangan terbang menuju ke Maldives, kelmarin kerana tidak tahan melihat skuadnya dibaham oleh Wolves.

Malah, dia tidak menyangka pasukannya akan mengalami kekalahan itu biarpun penyokong menyatakan kebimbangan mereka terhadap perubahan benteng pertahanan sejak beberapa minggu lalu.

Guardiola dianggap sebagai ‘master’ mencari penyelesaian dalam musim Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak dua musim lalu namun krisis kecederaan melanda skuad mengatasi kemampuan imaginasi dimilikinya.

Dia tidak mendapat khidmat tiga daripada empat pemain pertahanan membantu meraih tiga gelaran domestik musim lalu.

Vincent Kompany meninggalkan kelab itu, John Stones direhatkan akibat masalah paha sehinggalah waktu cuti rehat antarabangsa manakala Aymeric Laporte tidak dapat beraksi sehingga awal tahun kerana kecederaan lutut.

Keadaan itu menyebabkan pasukan menjadi huru-hara dengan Nicolas Otamendi saja pemain senior beraksi selaku pertahanan tengah sejak beberapa minggu lalu.

Malah pemain tengah terbaik mereka Kevin De Bruyne juga tidak dapat beraksi selama beberapa minggu akibat kecederaan pangkal paha.

Dengan kecederaan jangka panjang melanda Leroy Sane serta masalah kecergasan Benjamin Mendy, ia bermakna dia juga tidak mendapat khidmat bahagian kiri paling dinamik.

Bagaimanapun, pemain tengah Ilkay Gundogan mengatakan masalah kecederaan sepatutnya tidak perlu dijadikan alasan.

Pemain Jerman itu berkata: “Ia bukan mudah terlepas semua pemain terbabit kerana semuanya berkualiti.

“Sejak beberapa minggu lalu, kami membuktikan mampu menyelesaikan masalah itu dan mempunyai kualiti memadai.

“Kami perlu bermain lebih baik dengan kesebelasan terbaik di atas padang dan lebih baik daripada apa kami pamerkan ketika menentang Newcastle.”

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 4:21pm
d