arena

Perseorangan wanita 'bungkus' awal

Oleh Ferzalfie Fauzi

TIDAK ada seorang pun pemain perseorangan wanita remaja negara berjaya melepasi pusingan kedua Kejohanan Remaja Dunia hari ini apabila seorang demi seorang tumpas di Kazan, Russia.

Tahun lalu setidak-tidaknya Malaysia berbangga dengan kehadiran Goh Jin Wei yang meraih emas keduanya di kejohanan berkenaan namun harapan untuk sekurang-kurangnya melihat wakil negara ke suku akhir tidak kesampaian.

Lebih buruk kesemua empat wakil perseorangan wanita tumpas dengan keputusan straight set.

K Letshanaa yang diharapkan mampu membawa cabaran negara ke peringkat lebih jauh, terpaksa akur dengan kehebatan pilihan kelima dari China, Han Qian Xi apabila kalah 14-21, 8-21. Arena Samin pula dikecewakan wakil Indonesia yang juga pilihan keempat tatkala dia kalah 13-21, 13-21.

Seorang lagi wakil negara, Myisha Khairul ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan kelapan dari Indonesia, Yasnita Enggira Setiawan apabila dia kalah 14-21, 16-21.

Tan Zhing Yi juga gagal mara ke pusingan ketiga apabila tewas 13-21, 12-21 kepada Trisha Hegde (India).

Sementara itu, tiga wakil beregu campuran tidak berdepan masalah melepasi pusingan pertama apabila Ching Kai Feng-Teoh Le Xuan berjaya mengetepikan pasangan Portugal, Hugo Fernandes-Mariana Afonso 21-5, 21-11.

Haikal Nazri-Low Yeen Yuan pula berjaya menundukkan Safin Emran-Tuuli Vasikkaniemi 21-9, 21-3. Gandingan Arif Junaidi-Valeree Siow pula berjaya membenam wakil Israel, Maxim Grinblat-Dana Danilenko 21-13, 21-18.

Ketiga-tiga pasangan ini akan menyertai Yap Roy King-Gan Jing Err yang mendapat bye ke pusingan kedua.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 8:04pm
d