arena

Gabung jimat RM16 juta setahun

Oleh Firdaus Hashim

PENGGABUNGAN pasukan Selangor dan PKNS FC bakal memberi penjimatan hampir RM16 juta setahun daripada RM44 juta yang dibelanjakan musim ini.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) semalam, penggabungan itu dibuat selepas pertimbangan beberapa faktor dirasakan wajar dengan matlamat utama untuk mentransformasikan industri bola sepak di negeri itu.

"Antara faktornya adalah tanggungjawab kewangan di mana sebanyak RM44 juta dibelanjakan tiga pasukan di negeri ini iaitu Selangor, PKNS FC dan Selangor United dan penggabungan ini dapat menjimatkan RM16 juta yang boleh disalurkan kepada perkara lain.

"Selain itu, penggabungan bertujuan mengembalikan fokus setiap organisasi kepada tujuan asal di mana FAS dan PKNS FC adalah dua entiti yang perlu mempergiat aktiviti selari dengan tujuan asal penubuhan mereka selain menggunakan sumber kewangan terhad dengan sebaik mungkin.

"Dalam masa sama, perancangan ini dijangka meningkatkan lagi peluang untuk mendapatkan penaja selain mengurangkan perebutan penaja dan rakan niaga sesama sendiri dan pembangunan bola sepak yang berstruktur dan seragam," kata badan induk bola sepak Selangor itu, hari ini.

Pada 28 September lalu, FAS sebulat suara menerima penggabungan PKNS FC sebagai 'feeder club’ bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Selain itu FAS mengakui penggabungan berkenaan bakal memantapkan lagi struktur pentadbiran skuad Red Giants.

"Penggabungan ini memberi peluang untuk menyusun semula struktur pentadbiran bagi menjadikannya lebih efektif dan profesional selain mengurangkan jurang antara pasukan Liga Super dengan pasukan Piala Presiden.

"Kewujudan pasukan simpanan di Liga Perdana bakal mengurangkan jurang antara pasukan Liga Super dan Piala Presiden dan hasrat ini diharap akan membantu mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor dalam masa akan datang".

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 11:16pm
d