arena

Biar semua mantap

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Berbaki sehari menjelang aksi bertemu Vietnam pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi, esok, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mahu ada di antara anak buahnya yang cedera.

Cheng Hoe berkata, ketika ini beliau mengharapkan pemain yang bakal diturunkan di dalam kesebelasan utama tidak menjadi ‘korban’ saat akhir dan perlu sentiasa berhati-hati ketika menjalani latihan.

Jika mengikut kepada situasi sebelum ini, Cheng Hoe kehilangan lima pemain akibat kecederaan selepas beraksi bersama pasukan masing-masing pada saingan Piala Malaysia.

Perkara terbabit pastinya menjadi igauan setiap jurulatih apatah lagi dalam usaha mempersiapkan barisan pemain terbaik untuk menghadapi perlawanan penting.

Kini, beliau mengharapkan ada ‘magis’ yang ditampilkan baki pemain ketika melaksanakan strategi yang direncana.

“Perkara positif ketika ini ialah kami tidak berdepan masalah kecederaan. Cuma saya bimbang ia (kecederaan) mungkin berlaku pada saat akhir. Selain itu, pemain juga perlu fokus dan tidak boleh ada gangguan luar yang mungkin menyebabkan mereka tidak dapat beraksi dengan baik nanti.

“Motivasi juga berada dalam keadaan baik selepas keputusan menentang Sri Lanka sebelum ini. Saya tahu ini bukan tugas mudah untuk bertandang ke Vietnam namun pemain perlu yakin,” katanya.

Sebagai rekod, skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan G selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini.

Harimau Malaya menewaskan Indonesia 3-2 di Jakarta sebelum tewas tipis 2-1 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi di laman sendiri.

Vietnam yang baru mengharungi satu perlawanan, berada di tangga keempat apabila mengutip satu mata selepas terikat tanpa jaringan dengan satu lagi pasukan Asia Tenggara, Thailand.

Tiga pemain yang menjadi tonggak pasukan, Nor Azam Azih, Shahrel Fikri Md Fauzi dan juga pemain sayap, J Partiban tidak dibawa ke Hanoi kerana masih belum pulih daripada kecederaan.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 5:30am
d