arena

Scaloni puji La Albiceleste tanpa Messi

Oleh AFP

LIONEL Scaloni memuji pasukan kendaliannya Argentina yang tampil tanpa Lionel Messi namun masih mampu mengikat Jerman 2-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Dortmund, awal pagi tadi.

Jerman mendahului 2-0 menerusi jaringan Serge Gnabry dan Kai Havertz pada babak pertama sebelum Lucas Alario dan Lucas Ocampos meledak gol babak kedua untuk menyamakan kedudukan.

“Kami semakin matang ketika perlawanan,” kata jurulatih Argentina, Scaloni.

“Kami melakukan dua atau tiga kesilapan pada babak pertama, tapi berjaya mengancam pada babak kedua, lebih bersabar dan kami mencetus banyak positif bagi masa depan.

“Saya kagum dengan sikap mereka, kami tidak berputus asa sekalipun ketinggalan 0-2.”

Ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew mengakui pasukannya merudum selepas permulaan cemerlang.

“Kami mahu bersaing dalam perlawanan sejak sepak mula, namun malangnya kami gagal mempertahankannya bagi 90 minit,” kata Loew.

“Kami kehilangan bola beberapa kali, agak berani tapi berdepan masalah.”

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 8:25am
d