arena

Penyokong Harimau Malaya teruja layanan Vietnam [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

WALAUPUN dikelilingi puluhan ribu penyokong tuan rumah namun ‘ekor’ Harimau Malaya tetap dilayan dengan baik apabila mereka tiba di pekarangan Stadium My Dinh, Hanoi, di sini. Situasi berkenaan jauh berbeza ketika penyokong Harimau Malaya hadir ke Stadium Bung Karno, Indonesia apabila timbul sedikit kekecohan sehingga ada yang cedera.

Perkara itu diakui penyokong Harimau Malaya, Mustaza Mustapha,52, yang hadir ke stadium bersama isteri serta anak lelakinya dilayan baik warga tempatan.

Malah, penyokong Vietnam tidak mengganggu atau melakukan sebarang provokasi terhadap penyokong Malaysia yang hadir di pekarangan stadium sejak jam 4 petang waktu Malaysia. “Tiada sebarang provokasi dan kekecohan berlaku malah penyokong Vietnam melayan kami dengan baik selain banyak membantu jika tersesat atau menghadapi masalah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium My Dinh, Hanoi.

Sementara itu, Raihana Rahim,37, berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku apabila penyokong tuan rumah lebih berminat membuat hal sendiri daripada melakukan sebarang provokasi.

“Sudah menjadi kebiasaan mengikut suami menyokong skuad Harimau Malaya beraksi di luar negara dan pada perlawanan hari ini mengharapkan Malaysia mampu melakukan kejutan menewaskan tuan rumah,” katanya.

Aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta antara Indonesia dan Malaysia awal bulan lalu dicemari pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan.

Insiden itu tercetus selepas perlawanan berakhir dengan Harimau Malaya menang 3-2. Difahamkan, penyokong Indonesia yang berang dan kecewa dengan kekalahan skuad Garuda, bertindak menyerang penyokong Malaysia dengan merempuh kawasan tempat duduk mereka.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 9:35pm
d